UCAPAN
YBhg DATO’ HAJI MD NASIR BIN MD ARSHAD
PRESIDEN
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA
MAJLIS
PERASMIAN KEJOHANAN WAJADIRI NASIONAL
SILAT
CEKAK USTAZ HANAFI 2014
UNIVERSITI
MALAYSIA TERENGGANU (UMT)
19 APRIL 2014
Yang Berusaha Saudara/I Pengacara Majlis
Yang Berhormat Tn Haji Rozi Haji Mamat,
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri
Terengganu,
Profesor Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo
Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu
Prof. Dr. Anuar bin Hassan
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Universiti Malaysia Terengganu
Yang Mulia En Marui@Marwi Bin Latif
Guru Utama Silat Cekak Hanafi merangkap Penaung Persatuan Seni Silat Cekak
Ustaz Hanafi Malaysia,
Tn Haji Amruddin bin Buang
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Silat Cekak Hanafi,
Saudara Mohd Iffa Rezuan bin Rusdi,
Pengarah Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2014
Tetamu-tetamu kehormat,
Para peserta Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2014,
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas
limpah dan kurniaNya, dapat kita berada di dalam dewan ini untuk Majlis
Perasmian Pembukaan Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2014 sebagai
simbolik detik mula Wajadiri kali ini.
Tuan-tuan dan
puan-puan yang dihormati sekalian,
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk membentuk modal insan yang
berkualiti tinggi dalam kalangan ahli-ahli Silat Cekak Hanafi itu sendiri di
samping mempertingkatkan kemahiran persilatan. Penyertaan dari seluruh Negara
secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturahim di samping membina
perpaduan yang utuh sesama ahli. Pada tahun ini, Kejohanan Wajadiri Nasional
Silat Cekak Hanafi telah mencecah kali yang ke-17, di mana penyertaan sentiasa
menunjukkan peningkatan dari setiap tahun baik dari segi kuantiti pasukan dan
juga kualiti persembahan yang ditonjolkan oleh setiap pasukan.
Bagi pihak Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, saya berharap
agar dengan penganjuran kejohanan seperti ini setiap tahun dapat merapatkan
hubungan antara Persatuan dan cawangan-cawangannya di seluruh pelusuk Malaysia.
Kerjasama yang erat antara pihak penganjur kejohanan dan Persatuan juga secara
tidak langsung akan membawa kepada perkembangan yang sihat di kalangan ahli Silat
Cekak Hanafi itu sendiri. Hal ini membuktikan kepada semua bahawa penuntut
Silat Cekak Ustaz Hanafi di peringkat IPT bukan sahaja berkebolehan dari segi
persilatan, malahan turut mempunyai kemahiran untuk mentadbir acara-acara
bertaraf nasional, bertepatan dengan elemen kempen Pandai Silat, iaitu Cergas, Cerdas, Cekap, Cepat dan Cekal.
Tuan-tuan dan
puan-puan,
Pada tahun hadapan, Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi akan
dilaksanakan di peringkat Pusat, serentak dengan perayaan “Sambutan 50 Tahun
Silat Cekak” yang akan disambut dalam suasana meriah tapi penuh bererti buat
semua ahli Silat Cekak Hanafi. Pemimpin Agung Silat Cekak, Almarhum Ustaz
Hanafi Hj Ahmad berusaha untuk memperjuangkan Silat Cekak dengan tujuan murni
untuk mengangkat budaya kebangsaan dan menentang perkara tahyul dan khurafat
dalam persilatan. Marilah sama – sama kita tetapkan pendirian dan perjuangan
yang telah dirintis oleh Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad.
Saya mengucapkan sekalung
tahniah kepada pihak Universiti Malaysia Terengganu atas usaha keras
menganjurkan Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2014 dengan penuh
jayanya. Saya berasa amat yakin bahawa
kejayaaan dalam penganjuran kejohanan kali ini bukan sahaja memberi kesan yang
positif kepada setiap yang terlibat dalam menguruskan penganjuran Wajadiri kali
ini malah akan menaikkan nama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi di mata
umum, terutama di mata warga Universiti Malaysia Terengganu itu sendiri.
Saya akhiri ucapan saya pada pagi ini
dengan ucapan wabilahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.