Saturday, May 3, 2014

TEKS UCAPAN PRESIDEN MESYUARAT AGONG TAHUNAN ke-14 PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

MESYUARAT AGONG TAHUNAN ke-14
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

3 MEI 2014, SABTU
AKADEMI SCH

TEKS UCAPAN PRESIDEN


Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamu alaikum wbt

Terima kasih kepada Pengerusi Tetap Mesyuarat

Yang Mulia Guru Utama
Encik Marwi bin Latif

Ketua Pengarah Eksekutif
Akademi SCH
Tuan Haji Amruddin bin Buang


Para anggota MMK Sesi 2012-2015

Para anggota MMN

Para perwakilan dari Cawangan dan Ibu Pejabat

Tuan Puan yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-NYA dapat kita mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan ke 14 di Akademi SCH pada hari ini.


Terima kasih diucapkan kepada urusetia yang menguruskan persiapan untuk mengadakan mesyuarat ini. Tahniah kepada cawangan-cawangan yang masing-masing telah pun menjalani Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing, dan untuk makluman semua, Mesyuarat Ahli Terus Ibupejabat juga telah selesai pada 5 April 2014 yang lalu. Dari segi kelancaran pengurusan pentadbiran persatuan saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat.

Hadirin sekalian

Saya merasa bersyukur kerana sehingga ke hari ini kita melihat Silat Cekak Hanafi yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi Haji Ahmad ini telah bergerak atas nama Persatuan. Melalui persatuan ini juga, saya mendapati dengan peredaran masa dan perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam Persatuan, ahli-ahli Majlis Muafakat Tertinggi, Majlis Mesyuarat Kebangsaan, Majlis Mesyuarat Negeri dan juga pihak Akademi SCH amat memahami matlamat pergerakan kita yang sentiasa didokong oleh prinsip Ustaz Hanafi.

Persatuan dan Silat ini seiring dalam pergerakannya untuk berjuang memartabatkan bangsa dan agama. Dalam pada Silat Cekak Hanafi ini mengembang budaya bangsa, ia juga adalah pelopor dalam dunia persilatan yang menentang tahyul serta khurafat dalam persilatan Melayu. Ini merupakan teras perjuangan yang dibawa oleh Ustaz Hanafi.

Sejak dari tahun 1965, Almarhum Ustaz Hanafi telah mewujudkan SCH yang berlandaskan tauhid kepada Allah SWT dan menentang apa-apa yang khurafat dan tahyul dalam ilmu persilatan. Setiap ahli sedari awal telah ditekankan tentang kepentingan akidah dan mendalami ilmu agama yang benar. Almarhum Ustaz Hanafi amat menitikberatkan soal mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping mempelajari ilmu persilatan yang merupakan asas penjagaan diri, keluarga, bangsa dan agama. Maka seharusnyalah kita sebagai ahli pada hari ini yang mendokong perjuangan beliau, meneruskan dan sentiasa memastikan kita tidak terpesong daripada landasan perjuangan tersebut.

Dalam memperjuangkan perkara yang maa’ruf ini, ia amat memerlukan pengorbanan dan keikhlasan dari segi tenaga, wang ringgit dan masa. Ustaz Hanafi telah menerapkan aspek pengorbanan ini kepada ahli yang bersama-samanya pada ketika itu dan ia telah menjadi kelaziman sehingga ke hari ini di kalangan ahli-ahli lama Persatuan. Justeru itu saya sangat mengharapkan generasi muda yang kini lebih dikenali sebagai Gen Y yang ada dalam Persatuan hari ini dapat benar-benar menyelami dan memahami pembawaan Ustaz Hanafi ini. Generasi inilah yang akan meneruskan dan memastikan perjuangan dan landasan yang ditempa oleh Ustaz Hanafi ke arah melahirkan insan kamil melalui ilmu persilatan akan menjadi realiti dan terus gah sebagai wadah dari zaman ke zaman. Dalam kekalutan masyarakat hari ini mengejar kemodenan dan kerakusan perkembangan teknologi, Silat Cekak Hanafi sentiasa dapat disesuaikan dengan pengamalnya. Ia tidakkan lapuk dek hujan mahupun lekang dek panas kerana intisari silat itu sudah cukup mantap bagi mereka yang menghayati dan memperhalusi pengisian Silat Cekak Hanafi.

Hadirin hadirat yang dimuliakan

Penglibatan ilmu persilatan dalam kehidupan bermasyarakat pada hari ini tidak dapat dinafikan. Apa yang istimewanya tentang persatuan kita ialah Silat Cekak Hanafi ini tidak terlibat dengan mana-mana badan politik malah kita sentiasa menyokong pembentukan Kerajaan atas pilihan rakyat. Sayugia dengan itu kita sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan pemerintah di dalam memajukan budaya khususnya dalam bindang persilatan dan turut membantu dalam usaha pembanterasan jenayah. Dalam pada itu, penentangan terhadap perkara tahyul dan khurafat sentiasa dititikberatkan.  Kadar jenayah yang semakin meningkat sekarang ini banyak melibatkan golongan belia. Bagi para ahli Silat Cekak Hanafi, kita sentiasa dididik dengan disiplin dan akhlak mulia dan saya yakin sehingga hari ini kita di kalangan pengamal Silat Cekak Hanafi mampu membendung gejala-gejala negatif di kalangan ahli kita. Pada ketika ini keanggotaan kita sekitar 60,000 pesilat dan lebih daripada 80% telah berjaya dibentuk  melalui persatuan menjadi rakyat yang menyumbang kepada agama, keluarga, masyarakat dan Negara.

Sebenarnya jika kita lihat tidaklah mudah untuk menjadikan seseorang itu bepekerti mulia dan bersifat baik. Walaupun melalui pembelajaran silat ini ia berjaya di capai namun hakikatnya ia melalui proses dan cabaran yang tersendiri. Setiap dari kita ada bahagian ujian dan cabaran masing-masing yang akan mendidik kita untuk menjadi lebih kental dalam meneruskan perjuangan mulia ini.

Persatuan adalah satu medium bagi pergerakan silat yang lebih teratur dan berperaturan mengikut kehendak akta pendaftar pertubuhan. Sungguhpun demikian, dari kisah-kisah lalu kita telah maklum bahawa persatuan pernah menghadapi situasi bermasalah apabila pemimpin persatuan terpesong daripada ajaran tauhid sebenar yang kita perjuangkan. Malah terdapat juga amalan yang diasuh kepada ahli bukan daripada amalan yang diamalkan oleh Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Sebagai persatuan berdaftar dan berpelembagaan, kita boleh malah telah pun mengambil tindakan kepada pemimpin persatuan yang bermasalah ini. Ini menunjukkan persatuan hanya berkehendakkan pemimpin dan ahli yang bertanggungjawab, amanah dan ikhlas dalam persatuan. Saya menyeru supaya kita sentiasa dan saling mengingatkan di antara satu sama lain tentang perkara ini.

Hadirin sekalian

Sebagai pemimpin dan saya mahu semua faham yang setiap dari kita adalah pemimpin di peringkat masing-masing, bukan hanya barisan kami di hadapan ini sahaja yang bergelar pemimpin, tuan-tuan dan puan-puan juga adalah pemimpin yang merupakan pendokong Silat Cekak Hanafi. Sehubungan itu, amat penting untuk kita selalu mengambil iktibar daripada apa yang telah dilalui oleh persatuan bagi mengelakkan semangat kita jatuh dan dihimpit rasa kekecewaan dalam menggerakkan persatuan dan silat ini. Saya menyeru supaya kita semua hindari salah laku dan sentiasa bermusyawarah di kalangan kepimpinan di cawangan masing-masing supaya tidak lari dari intipati yang telah ditetapkan di peringkat Kebangsaan. Dalam bermusyawarah kita akan dapat mendengar dan memperhalusi cadangan dan idea yang disampaikan oleh ahli dan dari situ kita dapat membuat pertimbangan yang terbaik untuk persatuan. Saya tidak mahu ada di kalangan kita yang mempunyai agenda tersembunyi yang berkepentingan sendiri untuk tujuan tertentu. Keutamaan dalam berpersatuan adalah perpaduan di kalangan ahli di pelbagai peringkat dari yang paling atas sehinggalah ke akar umbi. Tidak perlu kita mempunyai kroni atau pun pengaruh tertentu sebaliknya focus kita patut untuk menegakkan tauhid kepada Allah dalam ilmu Silat Cekak Hanafi yang indah ini. Keteguhan prinsip dan jati diri setiap ahli dengan Silat Cekak Hanafi dan Persatuan amat penting kerana ia mencerminkan peribadi kita sebagai umat Islam yang teguh pendirian terhadap perkara yang benar.

Berkenaan isu kepimpinan yang salah, bekas pemimpin Silat Cekak Hanafi yang telah pun dikenakan tindakan tatatertib yakni dipecat dari Persatuan pernah mencuba untuk mendapatkan semula jawatannya dengan mengambil tindakan menyaman Persatuan. Kes tersebut telah berlanjutan beberapa lama sehinggalah kita diberi kemenangan. Pada ketika itu, beberapa isu telah dibangkitkan dengan tujuan untuk beliau diberi semula jawatan dalam Persatuan namun di atas landasan kebenaran, kemenangan di pihak kita. Malah susulan daripada keputusan kes itu pihak penyaman telah diarahkan oleh mahkamah untuk membayar sejumlah RM15,000 kepada pihak Persatuan. Pada hari ini saya dan barisan kepimpinan Persatuan yang ada sekarang boleh menarik nafas lega kerana krisis kekusutan yang melanda Persatuan sejak dari tahun 2006 telah pun selesai dengan kelebihan di pihak kita. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada firma-firma guaman yang terlibat iaitu, Tetuan A.R. Yahya & Co, Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah dan Azman, dan Tetuan Ibrahin & Fuaadah. Komitmen  yang mereka berikan dalam usaha menegakkan kebenaran amat kita hargai dan semoga dengan hasil usaha mereka ini Persatuan akan terus bergerak dengan penuh yakin dan bermaruah. Sungguhpun demikian, kita harus sedar yang ujian dan dugaan akan terus ada kerana itulah yang akan menjadikan kita lebih matang dan terus mara ke hadapan. Saya menyeru kepada semua yang hadir supaya dapat memanjangkan pesanan ini ke akar umbi ahli Persatuan kita supaya terus utuh menggerakkan persilatan ini di bawah nama Persatuan dengan rasa keikhlasan dan kesungguhan. Sesungguhnya atas dasar sesebuah perjuangan kita jangan mudah melatah dan berputus asa. Janganlah kerana berlainan pendapat kita mengambil keputusan untuk membawa haluan lain. Ini bukan apa yang dikehendaki oleh Ustaz Hanafi pada anak didik silatnya. Kita harus ambil maklum akan variasi latar belakang keluarga, pendidikan dan pergaulan setiap ahli dan perlu bersikap terbuka dalam menangani kelainan ini secara berhikmah supaya kita dapat mengekstrak setiap yang positif dari kelainan itu untuk pembangunan dan kejayaan Persatuan ini. Itu adalah satu kemahiran yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin seperti kita, iaitu kemampuan untuk mencari yang baik dalam apa juga keadaan dan menggunakannya untuk menutup kekurangan dan menambahbaik apa yang sedia ada.

Hadirin hadirat yang dihormati

Silat Cekak Hanafi bergerak pada prinsipnya. Ustaz Hanafi merupakan seorang pemimpin yang memegang prinsip dalam perjuangannya kerana tanpa prinsip kita seolah-olah bergerak tanpa tujuan dan tiada destinasi. Di sini saya jelaskan prinsip-prinsip yang menjadi asas dalam pergerakan Silat Cekak Hanafi. Pertama, kita memegang prinsip untuk mempertahankan keaslian Silat Cekak Hanafi yang dipelopori oleh Ustaz Hanafi untuk didalami dan dipelajari sebagai satu ilmu pertahanan diri di kalangan masyarakat Melayu. Kedua, matlamat utama kepada setiap prinsip kita adalah akidah yang benar dalam Islam. Seterusnya Silat Cekak Hanafi adalah silat yang berpendirian bebas dan tidak ada sebarang penglibatan mahupun pengaruh politik. Dengan itu, kita akan sentiasa memberikan kerjasama kepada mana-mana Kerajaan pemerintah yang dipilih melalui sistem demokrasi berparlimen. Prinsip keempat ialah Silat Cekak Hanafi tidak sekali-kali berkompromi dengan mana-mana pemimpin di dalam persatuan ini yang didapati cuba memesongkan akidah ataupun melakukan sebarang salah laku dengan tujuan untuk mengambil alih kepimpinan Silat Cekak Hanafi melalui saluran yang salah. Dan prinsip terakhir ialah kita akan sentiasa memastikan persatuan Silat Cekak Hanafi digerakkan selaras dengan perlembagaan persatuan yang termaktub sepertimana ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Maka dengan prinsip-prinsip yang saya jelaskan tadi, sekali lagi saya menyeru dan berharap kepada semua yang hadir dan ahli Silat Cekak Hanafi keseluruhannya supaya dapat mengekalkan jati diri dan kedewasaan kita dalam memperjuangkan seni beladiri Melayu yang asli ini di samping menjaga tatasulisa dan peradaban hubungan dengan Khaliq, memelihara kesantunan dan tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat serta bersama dalam usaha memartabatkan bangsa dan Negara kita. Semoga Allah SWT sentiasa membimbing dan merahmati kita dalam melaksanakan niat yang baik ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengingatkan tentang Sambutan Jubli Emas kita pada tahun 2015 kelak. Mudah-mudahan persiapan yang dibuat dari awal akan menampakkan hasil pada sambutan yang penuh kecemerlangan dan kegemilangan.

Saya sertakan serangkap pantun enam kerat:

Berkhidmat berjasa bersatu padu,
Pahatkan dengan kesungguhan di dada,
Menjadi sebutan hingga akhir nanti;
Cekak Hanafi pendirian menunggu,
Bersedia sentiasa siap siaga,
Bersama kita teruskan berbakti.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu alaikum warah matullahi wabarokatuh.


Sekian, terima kasih.

Saturday, April 19, 2014

UCAPAN PRESIDEN PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN WAJADIRI NASIONAL SILAT CEKAK USTAZ HANAFI 2014

UCAPAN YBhg DATO’ HAJI MD NASIR BIN MD ARSHAD
PRESIDEN PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA
MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN WAJADIRI NASIONAL
SILAT CEKAK USTAZ HANAFI 2014
UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)
19 APRIL 2014

Yang Berusaha Saudara/I Pengacara Majlis

Yang Berhormat Tn Haji Rozi Haji Mamat,
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu,

Profesor Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo
Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu

Prof. Dr. Anuar bin Hassan
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Universiti Malaysia Terengganu

Yang Mulia En Marui@Marwi Bin Latif
Guru Utama Silat Cekak Hanafi merangkap Penaung Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia,

Tn Haji Amruddin bin Buang
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Silat Cekak Hanafi,

Saudara Mohd Iffa Rezuan bin Rusdi,
Pengarah Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2014

Tetamu-tetamu kehormat,
Para peserta Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2014,
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah dan kurniaNya, dapat kita berada di dalam dewan ini untuk Majlis Perasmian Pembukaan Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2014 sebagai simbolik detik mula Wajadiri kali ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk membentuk modal insan yang berkualiti tinggi dalam kalangan ahli-ahli Silat Cekak Hanafi itu sendiri di samping mempertingkatkan kemahiran persilatan. Penyertaan dari seluruh Negara secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturahim di samping membina perpaduan yang utuh sesama ahli. Pada tahun ini, Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi telah mencecah kali yang ke-17, di mana penyertaan sentiasa menunjukkan peningkatan dari setiap tahun baik dari segi kuantiti pasukan dan juga kualiti persembahan yang ditonjolkan oleh setiap pasukan.
Bagi pihak Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, saya berharap agar dengan penganjuran kejohanan seperti ini setiap tahun dapat merapatkan hubungan antara Persatuan dan cawangan-cawangannya di seluruh pelusuk Malaysia. Kerjasama yang erat antara pihak penganjur kejohanan dan Persatuan juga secara tidak langsung akan membawa kepada perkembangan yang sihat di kalangan ahli Silat Cekak Hanafi itu sendiri. Hal ini membuktikan kepada semua bahawa penuntut Silat Cekak Ustaz Hanafi di peringkat IPT bukan sahaja berkebolehan dari segi persilatan, malahan turut mempunyai kemahiran untuk mentadbir acara-acara bertaraf nasional, bertepatan dengan elemen kempen Pandai Silat, iaitu Cergas, Cerdas, Cekap, Cepat dan Cekal.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pada tahun hadapan, Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi akan dilaksanakan di peringkat Pusat, serentak dengan perayaan “Sambutan 50 Tahun Silat Cekak” yang akan disambut dalam suasana meriah tapi penuh bererti buat semua ahli Silat Cekak Hanafi. Pemimpin Agung Silat Cekak, Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad berusaha untuk memperjuangkan Silat Cekak dengan tujuan murni untuk mengangkat budaya kebangsaan dan menentang perkara tahyul dan khurafat dalam persilatan. Marilah sama – sama kita tetapkan pendirian dan perjuangan yang telah dirintis oleh Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad.
Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada pihak Universiti Malaysia Terengganu atas usaha keras menganjurkan Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2014 dengan penuh jayanya.  Saya berasa amat yakin bahawa kejayaaan dalam penganjuran kejohanan kali ini bukan sahaja memberi kesan yang positif kepada setiap yang terlibat dalam menguruskan penganjuran Wajadiri kali ini malah akan menaikkan nama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi di mata umum, terutama di mata warga Universiti Malaysia Terengganu itu sendiri.
Saya akhiri ucapan saya pada pagi ini dengan ucapan wabilahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Monday, February 13, 2012

TEKS UCAPAN PRESIDEN PSSCUHM PADA MESYUARAT AGONG PEMILIHAN SESI 2012-2015

سم الله الرحمن الرحي


Pada hari ini, 4 Februari 2012 akan diadakan pemilihan untuk melantik anggota MMK bagi sesi akan datang 2012-2015. Beberapa calon telah disenaraikan dan saudara-saudari para ahli akan memilih calon-calon tersebut yang akan menerajui kepimpinan Persatuan nanti.

Persatuan kita pada hari ini masih belum berada pada kedudukan yang selesa selepas krisis yang melanda sejak dari tahun 2006. Walau bagaimanapun, syukur Alhamdu lillah, segala perkara yang berkaitan perundangan telah selesai dengan keputusan kredibiliti Persatuan memihak kepada kita. Sehubungan itu, Persatuan pada hari ini masih di dalam fasa pemulihan untuk bangkit semula. Oleh itu, saya menyeru semua yang hadir pada hari ini termasuk bagi diri saya sendiri, supaya kita semua kembali menelusuri asas intipati perjuangan yang dibawa oleh Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad.

Sejak dari tahun 1965, Almarhum Ustaz Hanafi telah mewujudkan SCH yang berlandaskan tauhid kepada Allah SWT dan menentang apa-apa yang khurafat dan tahyul dalam ilmu persilatan. Setiap ahli sedari awal telah ditekankan tentang kepentingan akidah dan mendalami ilmu agama yang benar. Almarhum Ustaz Hanafi amat menitikberatkan soal mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping mempelajari ilmu persilatan yang merupakan asas penjagaan diri, keluarga, bangsa dan agama. Maka seharusnyalah kita sebagai ahli pada hari ini yang mendokong perjuangan Almarhum Ustaz Hanafi , meneruskan dan sentiasa memastikan kita tidak terpesong daripada landasan perjuangan tersebut.

Adakalanya kita leka dan lalai sehingga kabur tentang apa perjuangan yang kita perjuangkan selama ini melalui SCH. Perlunya kita saling mengingati dan bermuhasabah supaya tidak tersasar jauh sebelum berlaku musibah yang akhirnya menyusahkan semua pihak.

Kini sebagaimana yang kita sedia maklum, terdapat beberapa SC yang kononnya membawa perjuangan Almarhum Ustaz Hanafi. Tetapi kita tahu kebenaran di sebalik setiap silat tersebut dan justeru kita harus merasa bangga kerana kita masih berada dalam kelompok yang memperjuangkan kebenaran asal kehendak Almarhum Ustaz Hanafi dalam usaha mengembangkan SCH. Mudah-mudahan kita tidak terpengaruh dengan kemewahan, pangkat dan nama yang boleh mengganggu kekukuhan akidah dan tauhid kepada Alah SWT.

Pada hari ini kita akan memilih tampuk pentadbiran Persatuan yang baru untuk tiga tahun akan datang. Saya berharap biarlah pemilihan dibuat berdasarkan kemampuan, ketahanan dan komitmen yang mampu diberikan oleh para calon. Ini adalah kerana, apabila pemilihan telah terlaksana, setiap yang terpilih akan memikul tanggungjawab yang besar dan memerlukan pengorbanan dari segi masa, tenaga dan kewangan. Selain itu, mereka yang terpilih juga perlu tahu akan kedudukan masing-masing yang merupakan imej Persatuan di mata para ahli khasnya dan masyarakat amnya.

Setiap jawatan yang ada di dalam anggota MMK mempunyai peranan tersendiri di dalam memastikan Persatuan dapat terus bergerak dengan lancar. Pada masa yang sama anggota MMK perlu berusaha meningkatkan prestasi pentadbiran Persatuan serta menyumbang ke arah membangunkan persilatan SCH itu sendiri. Pergerakan Persatuan kita ini merupakan satu usaha sukarela yang memerlukan keikhlasan dan keluhuran hati setiap dari kita. Maka sayugia saya tekankan di sini peranan penting anggota MMK terutamanya Setiausaha Agong dan Ketua Perhubungan Seranta bagi menggerakkan Persatuan menjadi lebih proaktif dalam setiap tindakan dan aktiviti.

Saya tidak memperkecilkan penglibatan anggota MMK yang lain, malah tanpa mereka, Setiausaha Agong dan Ketua Perhubungan Seranta tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Cuma saya minta di sini agar sikap proaktif itu dapat diamalkan dengan lebih mantap sealiran dengan perkembangan persekitaran kita pada hari ini.

Kalau kita lihat, persekitaran hari ini mempunyai kadar persaingan yang sangat tinggi, terutama bagi SCH yang mempunyai pesaing-pesaing sesama sendiri. Oleh itu, saya menyeru supaya jentera pentadbiran yang baru kelak dapat bersama-sama menggembeleng tenaga dengan usaha
berlipat ganda dari pihak Setiausaha Agong dan Ketua Perhubungan Seranta ke arah persatuan yang mempunyai imej, matlamat dan identiti sendiri secara khusus berbanding pesaing yang lain. Kita harus berbalik ke pangkal iaitu, perjuangan yang di bawa oleh Almarhum Ustaz Hanafi yang mempunyai ciri tersendiri tidak menyerupai mana-mana guru di mana Almarhum Ustaz Hanafi menimba ilmu.

Persatuan amat memerlukan satu pendekatan publisiti yang berlainan dan ‘catchy’ supaya dapat menarik lebih ramai ahli menyertai dan dapat juga menarik kembali ahli lama yang telah kurang melibatkan diri dengan sebarang aktiviti Persatuan. Sebenarnya kita mempunyai ramai ahli yang berada di serata negeri tetapi keinginan mereka untuk berada bersama-sama kita di barisan hadapan telah pudar. Saya ingin sekiranya golongan ini dapat kembali bersama-sama kita pada ketika ini untuk memberi sumbangan biarpun sekadar dengan menghadirkan diri pada majlis-majlis yang diadakan Persatuan. Sumbangan emosi dari aspek tenaga, sokongan dan idea
boleh dijana dari kalangan sesiapa juga ahli kita. Lain dengan sumbangan material yang hanya sebahagian daripada kita yang mampu memberi sumbangan. Dari itu, saya menyeru semua ahli baik yang ada di sini hari ini, dan pada yang mendengar selepas ini, marilah kita bersama-sama memberikan sumbangan apa yang termampu dalam meneruskan perjuangan Almarhum Ustaz Hanafi dalam SCH ini.

Antara sedar dengan tidak, kita telah menghampiri separuh abad bersama dengan SCH. Menjelang 2015 kelak, genaplah 50 tahun usia SCH yang dibawa oleh Almarhum Ustaz Hanafi. Di manakah kita? Setimpalkah ilmu dan pengisian yang kita dapat dari tunjuk ajar yang ditinggalkan oleh Almarhum Ustaz dengan apa yang kita curahkan kembali untuk perkembangan Persatuan?

Kini kita sudah mempunyai ASCH yang diterajui oleh Tuan Haji Amruddin bin Buang. Akademi ini berperanan untuk mendidik dan menerapkan ilmu persilatan di samping memberi pengisian kepada para ahli supaya lebih memahami perjuangan yang kita bawa serta mampu memberi penjelasan dan penegasan bila perlu tentang SCH itu sendiri. ASCH menyediakan kursus-kursus pemantapan untuk pelbagai peringkat ahli supaya kita dapat menghasilkan para ahli yang mempunyai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan cabaran di alaf baru ini dalam
usaha mengembangkan ilmu persilatan dengan pengisian tauhid dan akidah kepada Allah SWT.

Semua yang diusahakan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kemampuan persaingan SCH dengan senario SC di sekitar kita pada hari ini. Setiap dari kita berperanan memberi sumbangan ke arah menyediakan platform untuk publisiti yang bersesuaian di samping ruang-ruang publisiti sedia ada. Pendekatan penggunaan laman sesawang, facebook, blog, sms dan sebagainya perlu sentiasa menyiarkan yang terkini dan menarik. Perkembangan Persatuan tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan kewangan. Kedudukan kewangan yang kukuh merupakan asas kelancaran pergerakan Persatuan. Persatuan amat mengalu-alukan cadangan program yang mampu menjana kewangan untuk Persatuan, sepertimana yang pernah kita lakukan sebelum ini iaitu Pertandingan Golf Amal. Selain itu, acara tahunan seperti Majlis Makan Malam juga merupakan aktiviti yang menyumbang kepada tabung kewangan Persatuan. Saya yakin setiap dari kita mempunyai idea yang boleh diketengahkan untuk menjana pendapatan bagi Persatuan dan saya mahu idea-idea ini disalurkan kepada jentera pentadbiran Persatuan yang baru kelak supaya ia dapat dilaksanakan.

Punca kewangan Persatuan yang tetap sejak dari awal lagi ialah yuran persilatan yang kita kutip untuk 7 bulan bagi setiap ahli yang belajar sehingga tamat. Ini merupakan tanggungjawab para penyelia di kelas latihan masing-masing. Kini saya dapati pengutipan yuran kurang memberansangkan dan para ahli sudah tidak menitikberatkan soal yuran kepada ahli-ahli baru yang menyertai Persatuan. Pembayaran yuran persilatan adalah tanggungjawab bagi setiap ahli yang mendaftar untuk belajar. Oleh itu, saya mohon kerjasama dari semua supaya kutipan yuran dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan penjanaan sumber kewangan Persatuan berterusan. Para penyelia memainkan peranan penting ke arah memberi kesedaran kepada para ahli tidak kira di peringkat sekolah, IPT mahupun kelas latihan supaya bertanggungjawab menjelaskan yuran 7 bulan yang telah ditetapkan. Pihak LPT perlu melakukan pemantauan berterusan melalui pegawai-pegawai LPT yang telah ditetapkan supaya aspek kewangan ini tidak mendatangkan masalah kepada perjalanan Persatuan. Malah tidak keterlaluan sekiranya mendapat persetujuan semua, agar kita melaksanakan sistem yuran
persilatan secara ‘prepaid’ di mana para ahli baru yang mendaftar perlu membayar dahulu sebelum memulakan kelas latihan. Mungkin dengan cara ini mereka akan lebih menghargai ilmu persilatan yang dituntut dan akan belajar sehingga tamat.

Sebagaimana fitrahnya, manusia mementingkan duit, jadi sekiranya duit telah dilaburkan maka, logiknya mereka akan berusaha untuk tamat belajar silat supaya duit yang dibelanjakan tidak sia-sia. Dalam pada masa yang sama, kita selaku tenaga pengajar harus memberi pengisian
tentang ilmu persilatan dan perjuangan Almarhum Ustaz Hanafi supaya di akhir nanti, golongan ini akan memahami dan dapat meneruskan ilmu persilatan yang dipelajari dengan hati yang ikhlas. Persatuan juga menggalakkan para ahli memohon untuk menjadi Ahli Seumur Hidup. Di sini, LPT berperanan menggalakkan para penyelia dan tenaga pengajar untuk menjadi ASH dan seterusnya memanjangkan kepada para ahli baru yang telah tamat. Sepatutnya setiap dari kita baik penyelia mahupun tenaga pengajar adalah ASH SCH. Tetapi saya tahu masih ramai yang bukan ASH SCH di kalangan kita hari ini. Marilah kita bersama-sama menjadi ASH SCH dan sentiasa melaksanakan tanggungjawab membawa perjuangan Almarhum Ustaz Hanafi sama
ada untuk diri sendiri, keluarga, bangsa mahupun Negara.

Selain daripada perkara-perkara yang saya bangkitkan tadi, Persatuan kita juga tidak harus hanya bertumpu kepada aktiviti persilatan dan aktiviti-aktiviti dalaman di kalangan para ahli sahaja. Sebaliknya sebagai salah satu pendekatan ke arah mengetengahkan lagi nama Persatuan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang PSSCUH ini, kita perlu melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan CSR (corporate social responsibility). Antara aktiviti yang boleh kita beri penglibatan adalah seperti gotong royong di kawasan kejiranan, program menjaga alam sekitar yang dianjurkan oleh mana-mana NGO mahupun badan-badan kerajaan dan apa-apa aktiviti kekeluargaan kawasan setempat. Program-program setempat yang dijalankan di kawasan yang ada kelas latihan, perlulah kita turut sama melibatkan diri supaya kehadiran kita disedari dan kita dapat menambah jaringan (networking) untuk Persatuan.

Saya ingin menarik kembali perhatian kita semua kepada moto Satu Pemikiran, Satu Tujuan. Adakah kita benar-benar memahami dan mengaplikasikan moto ini untuk Persatuan? Satu Pemikiran, Satu Tujuan tidak semestinya memerlukan kita semua berada bersama pada waktu dan tempat yang sama setiap masa.Sebenarnya kita boleh melaksanakan agenda yang kita rasa bersesuaian untuk menaikkan nama Persatuan dengan cara kita masing-masing asalkan ia tidak bercanggah dengan akidah sebagai seorang muslim yang mukmin dan asal kehendak perjuangan
Almarhum Ustaz Hanafi. Adakala dalam kita mencanaikan idea dan pelaksanaan perancangan untuk Persatuan, berlakunya tidak sependapat, tetapi saya yakin apa yang kita mahukan adalah untuk keselamatan dan kekukuhan Persatuan di masa akan datang. Oleh itu, situasi seperti ini tidak harus merencatkan tindakan kita untuk memajukan Persatuan kerana ia hanyalah seperti ‘hiccup’ yang sekadar memberi ketidakselesaan sementara. Sebaliknya kita teruskan dengan perjuangan memartabatkan silat Melayu yang tiada unsur khurafat dan syirik demi agama,
bangsa dan Negara.

Sekian dulu ucapan dari saya untuk Mesyuarat Agong Pemilihan kali ini. Harapan saya jentera pentadbiran sesi akan datang dapat lebih merealisasikan apa yang kurang sebelum ini supaya Persatuan menjadi lebih kukuh di samping peranan ASCH yang lebih mantap dalam melahirkan para ahli dengan pakej SCH yang lengkap.

Saturday, September 12, 2009

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1430 Hijrah

PERUTUSAN DARI PRESIDEN

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamu alaikum,


Syukur ke hadrat Allah S.W.T. yang maha pemurah dan pengasih dengan limpah kurnia-Nya serta berkat junjungan Nabi Muhammad S.A.W. perutusan ini dapat disediakan untuk tatapan semua ahli Silat Cekak Hanafi yang dikasihi sekalian.

Dalam usaha mengembangkan silat, Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad telah berusaha bersungguh-sungguh di dalam memperlengkapkan pergerakan silat ini dengan keperluan semasa supaya mudah dikenali dan dihayati. Justeru itu, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi merupakan satu platform yang mampu untuk menyumbang jasa dan mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu. Perjuangan Silat Cekak Hanafi perlu diteruskan bagi menyambung usaha yang telah dimulakan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad dan kini merupakan tanggungjawab semua ahli sebagai mengenang jasa Allahyarham dan sebagai amal jariah kepada masyarakat.

Ahli Silat Cekak Hanafi sekalian,

Selepas melalui satu tempoh yang kurang stabil pada tahun 2006-2008 yang lalu, kini dalam tahun 2009, Persatuan telah mengorak langkah dengan semangat baru dan keyakinan yang semakin mantap untuk memperjuangkan seni silat Melayu ini melalui pengisian falsafah, nilai-nilai murni dan kefahaman tauhid yang tergarap dengan baik. Selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Ke-10 yang lalu, barisan kepimpinan yang telah dipilih terdiri daripada gandingan baru dan lama yang menampakkkan satu kolaborasi yang lebih mantap ke arah memastikan perjuangan Persatuan bakal mencapai ke satu tahap yang membanggakan.

Ekoran dari itu, usaha-usaha yang lebih giat sedang dilaksanakan bagi merangka dasar dan pelbagai aktiviti untuk memajukan persatuan dan mengembalikan semangat kerjasama dan bersatu padu di kalangan ahli tanpa mengira usia dan dari kelas mana ahli-ahli tersebut menamatkan pembelajaran silat mereka. Saya sangat mengalu-alukan semua ahli di setiap peringkat umur untuk tampil ke hadapan menyumbang dan bekerjasama bagi membangun dan memeriahkan Persatuan kita ini. Tambahan pula dengan tertubuhnya Akademi Silat Cekak Hanafi yang bertindak secara khusus sebagai penggerak pembelajaran Silat Cekak Hanafi bersesuaian dengan kehendak masa kini. Di sinilah semua ahli dapat bersama menggembleng tenaga supaya dapat merekayasakan (re-engineered) Persatuan dan pergerakan Silat Cekak Hanafi ini.

Bagi sesi baru pentadbiran Persatuan iaitu sesi 2009-2012, Guru Utama akan bertindak selaku Penaung kepada pergerakan Persatuan. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) bagi sesi ini yang telah dipilih melalui Mesyuarat Agong Perwakilan ke-10 yang lalu menampilkan barisan yang dapat menjana idea-idea baru dan pada masa yang sama tidak mengenepikan amalan dan budaya positif yang telah menjadi kelaziman kita semua sebagai ahli Silat Cekak Hanafi. Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya dan semua ahli yang dikasihi supaya dapat menerima dan memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan baru ini, yang mana terdiri daripada golongan profesional dan kompeten untuk mentadbir Persatuan dengan baik tanpa ada kepentingan peribadi mahupun kegoyahan integriti.

Sesungguhnya matlamat perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi akan terus diberi keutamaan di dalam setiap pelaksanaan aktiviti ke arah menyatukan ahli. Ini kerana hanya dengan bersatu hati barulah kita dapat bergerak dalam segerak dan memenuhi falsafah persilatan ini. Setiap ahli harus tahu memantapkan tekad, mengatur langkah dan melaksanakan setiap tindakan sesuai dengan kaedah menumpaskan lawan dalam pertempuran yang merangkumi pertempuran idea, ekonomi dan sosial yang sebenarnya merupakan perkara penting di dalam mengembangkan sesebuah persatuan pada hari ini.

Adalah menjadi lumrah, pertembungan di antara golongan baru dan lama memerlukan waktu penyesuaian. Walaubagaimanapun, saya yakin di setiap peringkat dan cawangan kehadiran ‘orang baru’ dan ‘orang lama’ sama pentingnya kerana setiap dari kita mempunyai kelebihan masing-masing. Yang penting adalah sikap mahu terus belajar dan menimba ilmu di samping tidak malu bertanya dan menyuarakan pendapat yang baik.

Ahli-ahli Silat Cekak Hanafi yang dihormati,

Komitmen penuh dengan hubungan serta interaksi dua hala yang baik sesama ahli amat penting untuk memantapkan pergerakan persatuan supaya dapat memberi impak positif terhadap setiap individu khasnya dan persatuan amnya. Pada masa yang sama Akademi Silat Cekak Hanafi akan berperanan di dalam pembangunan modal insan Persatuan dan perkembangan persilatan. Akademi bertanggungjawab menyedia dan melaksanakan kaedah-kaedah pembelajaran Silat Cekak Hanafi yang lengkap dan menyeluruh serta bertujuan mewujudkan tenaga pengajar Silat Cekak Hanafi yang berwibawa di semua peringkat dan kelas latihan selaras dengan pergerakan Persatuan. Seterusnya bagi sasaran jangka masa panjang, akademi ini diharapkan akan dapat diiktiraf sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Sehubungan itu, Lembaga Pelajaran & Tatatertib akan menyusun pembelajaran dan kursus-kursus silat yang bersesuaian bagi memenuhi tuntutan tersebut. Akademi Silat Cekak Hanafi kini bertempat di alamat No 3, Lorong Kiri 1, Kampung Datuk Keramat, 54200 Kuala Lumpur. Dengan adanya Akademi Silat Cekak Hanafi ini, Persatuan sedang menuju ke arah pembaharuan dan penjenamaan semula agar pergerakan silat ini lebih mendapat tempat di kalangan masyarakat dan dapat diperluaskan lagi.

Oleh itu, sebelum saya mengakhiri perutusan ini, saya sekali lagi menyeru dan menggalakkan semua ahli tanpa mengira usia mahupun dari kelas mana agar dapat bersama-sama tampil dan menyumbang ke arah memartabatkan Persatuan dan pergerakan Silat Cekak Hanafi dalam memperjuangkan budaya bangsa Melayu berlandaskan kepada semangat tauhid yang jitu.

Akhir kata, sempena menjelangnya Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi, saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin kepada semua ahli Silat Cekak Hanafi yang jauh mahupun yang dekat. Semoga perjalanan pulang ke kampung masing-masing berjalan dengan lancar dan selamat. Mudah-mudahan perayaan tahun ini dirahmati oleh Allah S.W.T. dan kita terpelihara dari melakukan sebarang pembaziran.

Wallahu a’lam.

Wassalamu alaikum warah matullahi wabarokatuh.