Saturday, May 3, 2014

TEKS UCAPAN PRESIDEN MESYUARAT AGONG TAHUNAN ke-14 PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

MESYUARAT AGONG TAHUNAN ke-14
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

3 MEI 2014, SABTU
AKADEMI SCH

TEKS UCAPAN PRESIDEN


Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamu alaikum wbt

Terima kasih kepada Pengerusi Tetap Mesyuarat

Yang Mulia Guru Utama
Encik Marwi bin Latif

Ketua Pengarah Eksekutif
Akademi SCH
Tuan Haji Amruddin bin Buang


Para anggota MMK Sesi 2012-2015

Para anggota MMN

Para perwakilan dari Cawangan dan Ibu Pejabat

Tuan Puan yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-NYA dapat kita mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan ke 14 di Akademi SCH pada hari ini.


Terima kasih diucapkan kepada urusetia yang menguruskan persiapan untuk mengadakan mesyuarat ini. Tahniah kepada cawangan-cawangan yang masing-masing telah pun menjalani Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing, dan untuk makluman semua, Mesyuarat Ahli Terus Ibupejabat juga telah selesai pada 5 April 2014 yang lalu. Dari segi kelancaran pengurusan pentadbiran persatuan saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat.

Hadirin sekalian

Saya merasa bersyukur kerana sehingga ke hari ini kita melihat Silat Cekak Hanafi yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi Haji Ahmad ini telah bergerak atas nama Persatuan. Melalui persatuan ini juga, saya mendapati dengan peredaran masa dan perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam Persatuan, ahli-ahli Majlis Muafakat Tertinggi, Majlis Mesyuarat Kebangsaan, Majlis Mesyuarat Negeri dan juga pihak Akademi SCH amat memahami matlamat pergerakan kita yang sentiasa didokong oleh prinsip Ustaz Hanafi.

Persatuan dan Silat ini seiring dalam pergerakannya untuk berjuang memartabatkan bangsa dan agama. Dalam pada Silat Cekak Hanafi ini mengembang budaya bangsa, ia juga adalah pelopor dalam dunia persilatan yang menentang tahyul serta khurafat dalam persilatan Melayu. Ini merupakan teras perjuangan yang dibawa oleh Ustaz Hanafi.

Sejak dari tahun 1965, Almarhum Ustaz Hanafi telah mewujudkan SCH yang berlandaskan tauhid kepada Allah SWT dan menentang apa-apa yang khurafat dan tahyul dalam ilmu persilatan. Setiap ahli sedari awal telah ditekankan tentang kepentingan akidah dan mendalami ilmu agama yang benar. Almarhum Ustaz Hanafi amat menitikberatkan soal mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping mempelajari ilmu persilatan yang merupakan asas penjagaan diri, keluarga, bangsa dan agama. Maka seharusnyalah kita sebagai ahli pada hari ini yang mendokong perjuangan beliau, meneruskan dan sentiasa memastikan kita tidak terpesong daripada landasan perjuangan tersebut.

Dalam memperjuangkan perkara yang maa’ruf ini, ia amat memerlukan pengorbanan dan keikhlasan dari segi tenaga, wang ringgit dan masa. Ustaz Hanafi telah menerapkan aspek pengorbanan ini kepada ahli yang bersama-samanya pada ketika itu dan ia telah menjadi kelaziman sehingga ke hari ini di kalangan ahli-ahli lama Persatuan. Justeru itu saya sangat mengharapkan generasi muda yang kini lebih dikenali sebagai Gen Y yang ada dalam Persatuan hari ini dapat benar-benar menyelami dan memahami pembawaan Ustaz Hanafi ini. Generasi inilah yang akan meneruskan dan memastikan perjuangan dan landasan yang ditempa oleh Ustaz Hanafi ke arah melahirkan insan kamil melalui ilmu persilatan akan menjadi realiti dan terus gah sebagai wadah dari zaman ke zaman. Dalam kekalutan masyarakat hari ini mengejar kemodenan dan kerakusan perkembangan teknologi, Silat Cekak Hanafi sentiasa dapat disesuaikan dengan pengamalnya. Ia tidakkan lapuk dek hujan mahupun lekang dek panas kerana intisari silat itu sudah cukup mantap bagi mereka yang menghayati dan memperhalusi pengisian Silat Cekak Hanafi.

Hadirin hadirat yang dimuliakan

Penglibatan ilmu persilatan dalam kehidupan bermasyarakat pada hari ini tidak dapat dinafikan. Apa yang istimewanya tentang persatuan kita ialah Silat Cekak Hanafi ini tidak terlibat dengan mana-mana badan politik malah kita sentiasa menyokong pembentukan Kerajaan atas pilihan rakyat. Sayugia dengan itu kita sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan pemerintah di dalam memajukan budaya khususnya dalam bindang persilatan dan turut membantu dalam usaha pembanterasan jenayah. Dalam pada itu, penentangan terhadap perkara tahyul dan khurafat sentiasa dititikberatkan.  Kadar jenayah yang semakin meningkat sekarang ini banyak melibatkan golongan belia. Bagi para ahli Silat Cekak Hanafi, kita sentiasa dididik dengan disiplin dan akhlak mulia dan saya yakin sehingga hari ini kita di kalangan pengamal Silat Cekak Hanafi mampu membendung gejala-gejala negatif di kalangan ahli kita. Pada ketika ini keanggotaan kita sekitar 60,000 pesilat dan lebih daripada 80% telah berjaya dibentuk  melalui persatuan menjadi rakyat yang menyumbang kepada agama, keluarga, masyarakat dan Negara.

Sebenarnya jika kita lihat tidaklah mudah untuk menjadikan seseorang itu bepekerti mulia dan bersifat baik. Walaupun melalui pembelajaran silat ini ia berjaya di capai namun hakikatnya ia melalui proses dan cabaran yang tersendiri. Setiap dari kita ada bahagian ujian dan cabaran masing-masing yang akan mendidik kita untuk menjadi lebih kental dalam meneruskan perjuangan mulia ini.

Persatuan adalah satu medium bagi pergerakan silat yang lebih teratur dan berperaturan mengikut kehendak akta pendaftar pertubuhan. Sungguhpun demikian, dari kisah-kisah lalu kita telah maklum bahawa persatuan pernah menghadapi situasi bermasalah apabila pemimpin persatuan terpesong daripada ajaran tauhid sebenar yang kita perjuangkan. Malah terdapat juga amalan yang diasuh kepada ahli bukan daripada amalan yang diamalkan oleh Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Sebagai persatuan berdaftar dan berpelembagaan, kita boleh malah telah pun mengambil tindakan kepada pemimpin persatuan yang bermasalah ini. Ini menunjukkan persatuan hanya berkehendakkan pemimpin dan ahli yang bertanggungjawab, amanah dan ikhlas dalam persatuan. Saya menyeru supaya kita sentiasa dan saling mengingatkan di antara satu sama lain tentang perkara ini.

Hadirin sekalian

Sebagai pemimpin dan saya mahu semua faham yang setiap dari kita adalah pemimpin di peringkat masing-masing, bukan hanya barisan kami di hadapan ini sahaja yang bergelar pemimpin, tuan-tuan dan puan-puan juga adalah pemimpin yang merupakan pendokong Silat Cekak Hanafi. Sehubungan itu, amat penting untuk kita selalu mengambil iktibar daripada apa yang telah dilalui oleh persatuan bagi mengelakkan semangat kita jatuh dan dihimpit rasa kekecewaan dalam menggerakkan persatuan dan silat ini. Saya menyeru supaya kita semua hindari salah laku dan sentiasa bermusyawarah di kalangan kepimpinan di cawangan masing-masing supaya tidak lari dari intipati yang telah ditetapkan di peringkat Kebangsaan. Dalam bermusyawarah kita akan dapat mendengar dan memperhalusi cadangan dan idea yang disampaikan oleh ahli dan dari situ kita dapat membuat pertimbangan yang terbaik untuk persatuan. Saya tidak mahu ada di kalangan kita yang mempunyai agenda tersembunyi yang berkepentingan sendiri untuk tujuan tertentu. Keutamaan dalam berpersatuan adalah perpaduan di kalangan ahli di pelbagai peringkat dari yang paling atas sehinggalah ke akar umbi. Tidak perlu kita mempunyai kroni atau pun pengaruh tertentu sebaliknya focus kita patut untuk menegakkan tauhid kepada Allah dalam ilmu Silat Cekak Hanafi yang indah ini. Keteguhan prinsip dan jati diri setiap ahli dengan Silat Cekak Hanafi dan Persatuan amat penting kerana ia mencerminkan peribadi kita sebagai umat Islam yang teguh pendirian terhadap perkara yang benar.

Berkenaan isu kepimpinan yang salah, bekas pemimpin Silat Cekak Hanafi yang telah pun dikenakan tindakan tatatertib yakni dipecat dari Persatuan pernah mencuba untuk mendapatkan semula jawatannya dengan mengambil tindakan menyaman Persatuan. Kes tersebut telah berlanjutan beberapa lama sehinggalah kita diberi kemenangan. Pada ketika itu, beberapa isu telah dibangkitkan dengan tujuan untuk beliau diberi semula jawatan dalam Persatuan namun di atas landasan kebenaran, kemenangan di pihak kita. Malah susulan daripada keputusan kes itu pihak penyaman telah diarahkan oleh mahkamah untuk membayar sejumlah RM15,000 kepada pihak Persatuan. Pada hari ini saya dan barisan kepimpinan Persatuan yang ada sekarang boleh menarik nafas lega kerana krisis kekusutan yang melanda Persatuan sejak dari tahun 2006 telah pun selesai dengan kelebihan di pihak kita. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada firma-firma guaman yang terlibat iaitu, Tetuan A.R. Yahya & Co, Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah dan Azman, dan Tetuan Ibrahin & Fuaadah. Komitmen  yang mereka berikan dalam usaha menegakkan kebenaran amat kita hargai dan semoga dengan hasil usaha mereka ini Persatuan akan terus bergerak dengan penuh yakin dan bermaruah. Sungguhpun demikian, kita harus sedar yang ujian dan dugaan akan terus ada kerana itulah yang akan menjadikan kita lebih matang dan terus mara ke hadapan. Saya menyeru kepada semua yang hadir supaya dapat memanjangkan pesanan ini ke akar umbi ahli Persatuan kita supaya terus utuh menggerakkan persilatan ini di bawah nama Persatuan dengan rasa keikhlasan dan kesungguhan. Sesungguhnya atas dasar sesebuah perjuangan kita jangan mudah melatah dan berputus asa. Janganlah kerana berlainan pendapat kita mengambil keputusan untuk membawa haluan lain. Ini bukan apa yang dikehendaki oleh Ustaz Hanafi pada anak didik silatnya. Kita harus ambil maklum akan variasi latar belakang keluarga, pendidikan dan pergaulan setiap ahli dan perlu bersikap terbuka dalam menangani kelainan ini secara berhikmah supaya kita dapat mengekstrak setiap yang positif dari kelainan itu untuk pembangunan dan kejayaan Persatuan ini. Itu adalah satu kemahiran yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin seperti kita, iaitu kemampuan untuk mencari yang baik dalam apa juga keadaan dan menggunakannya untuk menutup kekurangan dan menambahbaik apa yang sedia ada.

Hadirin hadirat yang dihormati

Silat Cekak Hanafi bergerak pada prinsipnya. Ustaz Hanafi merupakan seorang pemimpin yang memegang prinsip dalam perjuangannya kerana tanpa prinsip kita seolah-olah bergerak tanpa tujuan dan tiada destinasi. Di sini saya jelaskan prinsip-prinsip yang menjadi asas dalam pergerakan Silat Cekak Hanafi. Pertama, kita memegang prinsip untuk mempertahankan keaslian Silat Cekak Hanafi yang dipelopori oleh Ustaz Hanafi untuk didalami dan dipelajari sebagai satu ilmu pertahanan diri di kalangan masyarakat Melayu. Kedua, matlamat utama kepada setiap prinsip kita adalah akidah yang benar dalam Islam. Seterusnya Silat Cekak Hanafi adalah silat yang berpendirian bebas dan tidak ada sebarang penglibatan mahupun pengaruh politik. Dengan itu, kita akan sentiasa memberikan kerjasama kepada mana-mana Kerajaan pemerintah yang dipilih melalui sistem demokrasi berparlimen. Prinsip keempat ialah Silat Cekak Hanafi tidak sekali-kali berkompromi dengan mana-mana pemimpin di dalam persatuan ini yang didapati cuba memesongkan akidah ataupun melakukan sebarang salah laku dengan tujuan untuk mengambil alih kepimpinan Silat Cekak Hanafi melalui saluran yang salah. Dan prinsip terakhir ialah kita akan sentiasa memastikan persatuan Silat Cekak Hanafi digerakkan selaras dengan perlembagaan persatuan yang termaktub sepertimana ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Maka dengan prinsip-prinsip yang saya jelaskan tadi, sekali lagi saya menyeru dan berharap kepada semua yang hadir dan ahli Silat Cekak Hanafi keseluruhannya supaya dapat mengekalkan jati diri dan kedewasaan kita dalam memperjuangkan seni beladiri Melayu yang asli ini di samping menjaga tatasulisa dan peradaban hubungan dengan Khaliq, memelihara kesantunan dan tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat serta bersama dalam usaha memartabatkan bangsa dan Negara kita. Semoga Allah SWT sentiasa membimbing dan merahmati kita dalam melaksanakan niat yang baik ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengingatkan tentang Sambutan Jubli Emas kita pada tahun 2015 kelak. Mudah-mudahan persiapan yang dibuat dari awal akan menampakkan hasil pada sambutan yang penuh kecemerlangan dan kegemilangan.

Saya sertakan serangkap pantun enam kerat:

Berkhidmat berjasa bersatu padu,
Pahatkan dengan kesungguhan di dada,
Menjadi sebutan hingga akhir nanti;
Cekak Hanafi pendirian menunggu,
Bersedia sentiasa siap siaga,
Bersama kita teruskan berbakti.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu alaikum warah matullahi wabarokatuh.


Sekian, terima kasih.