Saturday, September 12, 2009

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1430 Hijrah

PERUTUSAN DARI PRESIDEN

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamu alaikum,


Syukur ke hadrat Allah S.W.T. yang maha pemurah dan pengasih dengan limpah kurnia-Nya serta berkat junjungan Nabi Muhammad S.A.W. perutusan ini dapat disediakan untuk tatapan semua ahli Silat Cekak Hanafi yang dikasihi sekalian.

Dalam usaha mengembangkan silat, Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad telah berusaha bersungguh-sungguh di dalam memperlengkapkan pergerakan silat ini dengan keperluan semasa supaya mudah dikenali dan dihayati. Justeru itu, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi merupakan satu platform yang mampu untuk menyumbang jasa dan mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu. Perjuangan Silat Cekak Hanafi perlu diteruskan bagi menyambung usaha yang telah dimulakan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad dan kini merupakan tanggungjawab semua ahli sebagai mengenang jasa Allahyarham dan sebagai amal jariah kepada masyarakat.

Ahli Silat Cekak Hanafi sekalian,

Selepas melalui satu tempoh yang kurang stabil pada tahun 2006-2008 yang lalu, kini dalam tahun 2009, Persatuan telah mengorak langkah dengan semangat baru dan keyakinan yang semakin mantap untuk memperjuangkan seni silat Melayu ini melalui pengisian falsafah, nilai-nilai murni dan kefahaman tauhid yang tergarap dengan baik. Selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Ke-10 yang lalu, barisan kepimpinan yang telah dipilih terdiri daripada gandingan baru dan lama yang menampakkkan satu kolaborasi yang lebih mantap ke arah memastikan perjuangan Persatuan bakal mencapai ke satu tahap yang membanggakan.

Ekoran dari itu, usaha-usaha yang lebih giat sedang dilaksanakan bagi merangka dasar dan pelbagai aktiviti untuk memajukan persatuan dan mengembalikan semangat kerjasama dan bersatu padu di kalangan ahli tanpa mengira usia dan dari kelas mana ahli-ahli tersebut menamatkan pembelajaran silat mereka. Saya sangat mengalu-alukan semua ahli di setiap peringkat umur untuk tampil ke hadapan menyumbang dan bekerjasama bagi membangun dan memeriahkan Persatuan kita ini. Tambahan pula dengan tertubuhnya Akademi Silat Cekak Hanafi yang bertindak secara khusus sebagai penggerak pembelajaran Silat Cekak Hanafi bersesuaian dengan kehendak masa kini. Di sinilah semua ahli dapat bersama menggembleng tenaga supaya dapat merekayasakan (re-engineered) Persatuan dan pergerakan Silat Cekak Hanafi ini.

Bagi sesi baru pentadbiran Persatuan iaitu sesi 2009-2012, Guru Utama akan bertindak selaku Penaung kepada pergerakan Persatuan. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) bagi sesi ini yang telah dipilih melalui Mesyuarat Agong Perwakilan ke-10 yang lalu menampilkan barisan yang dapat menjana idea-idea baru dan pada masa yang sama tidak mengenepikan amalan dan budaya positif yang telah menjadi kelaziman kita semua sebagai ahli Silat Cekak Hanafi. Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya dan semua ahli yang dikasihi supaya dapat menerima dan memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan baru ini, yang mana terdiri daripada golongan profesional dan kompeten untuk mentadbir Persatuan dengan baik tanpa ada kepentingan peribadi mahupun kegoyahan integriti.

Sesungguhnya matlamat perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi akan terus diberi keutamaan di dalam setiap pelaksanaan aktiviti ke arah menyatukan ahli. Ini kerana hanya dengan bersatu hati barulah kita dapat bergerak dalam segerak dan memenuhi falsafah persilatan ini. Setiap ahli harus tahu memantapkan tekad, mengatur langkah dan melaksanakan setiap tindakan sesuai dengan kaedah menumpaskan lawan dalam pertempuran yang merangkumi pertempuran idea, ekonomi dan sosial yang sebenarnya merupakan perkara penting di dalam mengembangkan sesebuah persatuan pada hari ini.

Adalah menjadi lumrah, pertembungan di antara golongan baru dan lama memerlukan waktu penyesuaian. Walaubagaimanapun, saya yakin di setiap peringkat dan cawangan kehadiran ‘orang baru’ dan ‘orang lama’ sama pentingnya kerana setiap dari kita mempunyai kelebihan masing-masing. Yang penting adalah sikap mahu terus belajar dan menimba ilmu di samping tidak malu bertanya dan menyuarakan pendapat yang baik.

Ahli-ahli Silat Cekak Hanafi yang dihormati,

Komitmen penuh dengan hubungan serta interaksi dua hala yang baik sesama ahli amat penting untuk memantapkan pergerakan persatuan supaya dapat memberi impak positif terhadap setiap individu khasnya dan persatuan amnya. Pada masa yang sama Akademi Silat Cekak Hanafi akan berperanan di dalam pembangunan modal insan Persatuan dan perkembangan persilatan. Akademi bertanggungjawab menyedia dan melaksanakan kaedah-kaedah pembelajaran Silat Cekak Hanafi yang lengkap dan menyeluruh serta bertujuan mewujudkan tenaga pengajar Silat Cekak Hanafi yang berwibawa di semua peringkat dan kelas latihan selaras dengan pergerakan Persatuan. Seterusnya bagi sasaran jangka masa panjang, akademi ini diharapkan akan dapat diiktiraf sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Sehubungan itu, Lembaga Pelajaran & Tatatertib akan menyusun pembelajaran dan kursus-kursus silat yang bersesuaian bagi memenuhi tuntutan tersebut. Akademi Silat Cekak Hanafi kini bertempat di alamat No 3, Lorong Kiri 1, Kampung Datuk Keramat, 54200 Kuala Lumpur. Dengan adanya Akademi Silat Cekak Hanafi ini, Persatuan sedang menuju ke arah pembaharuan dan penjenamaan semula agar pergerakan silat ini lebih mendapat tempat di kalangan masyarakat dan dapat diperluaskan lagi.

Oleh itu, sebelum saya mengakhiri perutusan ini, saya sekali lagi menyeru dan menggalakkan semua ahli tanpa mengira usia mahupun dari kelas mana agar dapat bersama-sama tampil dan menyumbang ke arah memartabatkan Persatuan dan pergerakan Silat Cekak Hanafi dalam memperjuangkan budaya bangsa Melayu berlandaskan kepada semangat tauhid yang jitu.

Akhir kata, sempena menjelangnya Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi, saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin kepada semua ahli Silat Cekak Hanafi yang jauh mahupun yang dekat. Semoga perjalanan pulang ke kampung masing-masing berjalan dengan lancar dan selamat. Mudah-mudahan perayaan tahun ini dirahmati oleh Allah S.W.T. dan kita terpelihara dari melakukan sebarang pembaziran.

Wallahu a’lam.

Wassalamu alaikum warah matullahi wabarokatuh.

No comments:

Post a Comment